Welcome!

Saturday 25 January 2014

MalaysiaKu


Malaysia ialah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan di Asia Tenggara yang terdiri daripada tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan, yang menduduki bumi berkeluasan 329,847 kilometer persegi (127,350 batu²). Malaysia terbahagi kepada dua kawasan yang mengapit Laut China Selatan, iaitu Semenanjung Malaysia dan Borneo Malaysia (juga Malaysia Barat dan Timur). Malaysia berkongsi sempadan darat dengan Thailand, Indonesia, dan Brunei dan juga sempadan laut dengan Singapura dan Filipina. Ibu negara Malaysia ialah Kuala Lumpur, manakala Putrajaya merupakan pusat kerajaan persekutuan. Pada tahun 2009, Malaysia diduduki 28 juta orang. Malaysia berakar-umbikan Kerajaan-Kerajaan Melayu yang wujud di wilayahnya dan menjadi taklukan Empayar British sejak abad ke-18. Wilayah British pertama di sini dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Semenanjung Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya, mula-mula disatukan di bawah komanwel pada tahun 1946, sebelum menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1963, Tanah Melayu bersatu dengan negeri Sabah, Sarawak, dan Singapura. Pada tahun 1965, Singapura keluar dari persekutuan untuk menjadi negara kota yang bebas. Semenjak itu, Malaysia menikmati antara ekonomi yang terbaik di Asia, dengan purata pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) kira-kira 6.5% selama 50 tahun pertama kemerdekaannya. 

Ekonomi negara yang selama ini dijana oleh sumber alamnya kini juga berkembang dalam sektor-sektor sains, pelancongan, perdagangan dan perubatan. Ketua negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong, iaitu raja elektif yang terpilih dari kalangan sembilan raja negeri Melayu. Ketua kerajaannya pula ialah Perdana Menteri. Sistem kerajaan Malaysia banyak berdasarkan sistem parlimen Westminster, dan sistem perundangannya juga berasaskan undang-undang am Inggeris.

Malaysia terletak berdekatan dengan khatulistiwa dan beriklim tropika, serta mempunyai kepelbagaian flora dan fauna, sehingga menjadi salah satu daripada 17 negara megadiversiti. Di Malaysia terletaknya Tanjung Piai, titik paling selatan di seluruh tanah besar Eurasia. Malaysia ialah sebuah negara perintis Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara dan Pertubuhan Persidangan Islam, dan juga anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Negara-Negara Komanwel, dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. 





Asal usul Nama 

Nama Malaysia diguna pakaikan pada tahun 1963 apabila negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu serta Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak membentuk persekutuan baru. Sebelum ini nama Malaysia juga pernah digunakan untuk memaksudkan beberapa kawasan di Asia Tenggara dengan sewenang-wenangnya. Sehelai peta yang diterbitkan di Chicago pada tahun 1914 tertera perkataan Malaysia yang memaksudkan beberapa wilayah tertentu di dalam Kepulauan Melayu. Bahagian semenanjung memakai nama Persekutuan Tanah Melayu hingga tahun 1963, sewaktu pergabungannya dengan wilayah-wilayah Sabah, Sarawak dan Singapura. Para ahli politik di Filipina pernah bercadang agar negara mereka diberi nama "Malaysia", tetapi tidak sempat berbuat demikian apabila Malaysia merampas nama itu. Ketika itu, nama-nama lain juga dipertimbangkan, antaranya Langkasuka, sempena kerajaan purba yang terletak di kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu pada alaf pertama Masihi. Perkataan Melayu berasal daripada perkataan malaiur atau malayadvipa dalam bahasa Sanskrit yang mungkin membawa erti "tanah bergunung"; perkataan tersebut digunakan oleh para saudagar India sebagai gelaran untuk Semenanjung Tanah Melayu. 

Pada tahun 1850, seorang ahli etnologi Inggeris, George Samuel Windsor Earl mencadangkan agar kepulauan Indonesia dinamakan Melayunesia atau Indunesia ketika mengarang Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (Jurnal Kepulauan Hindia dan Asia Timur). Beliau menggemari Melayunesia demi kemudahan pihak kolonial. Berikutan ekspedisinya di Oceania pada tahun 1826, pelayar Perancis, Jules Dumont d'Urville mencipta istilah Malaysia, Micronesia dan Melanesia untuk membezakan budaya dan gugusan kepulauan Pasifik daripada istilah Polynesia yang sedia ada. Pada tahun 1831, beliau mengusulkan istilah-istilahnya kepada Société de Géographie (Persatuan Geografi). Dumont d'Urville menyifatkan Malaysia sebagai "kawasan yang lebih dikenali sebagai Hindia Timur". Ketika itu, adalah dipercayai bahawa kesemua penduduk kawasan berkenaan boleh dipanggil "orang Melayu" sama sekali, selaras dengan konsep kaum Melayu ketika itu, yang bertentangan dengan takrifan masa kini yang memerikan "Melayu" sebagai kelompok etnik yang seragam budayanya, bertutur bahasa Melayu dan tinggal di pantai timur Sumatera, Kepulauan Riau, Semenanjung Tanah Melayu dan pesisiran pulau Borneo. Istilah "Dunia Melayu" pula digunakan sebagai gelaran kepada keempat-empat kawasan tersebut pada keseluruhannya iaitu bersinonim dengan Nusantara. 

Sejarah

Terdapat bukti petempatan awal manusia di Malaysia sejak lebih kurang 40,000 tahun lalu. Manusia pertama sekali yang menduduki Semenanjung Melayu mungkin ialah kaum Negrito. Semenanjung Melayu dikenali sebagai "Semenanjung Emas" oleh tamadun India purba (Suvarnadvipa) dan juga peta dunia Ptolemy (Chersonesus Aurea atau Semenanjung Kencana). Semenanjung Melayu menyambut pedagang dan penghuni dari India dan China seawal-awal abad pertama Masihi, di mana mereka membuka pelabuhan dan bandar di kawasan itu pada abad ke-2 dan ke-3 M. India dan China membawa pengaruh besar kepada kebudayaan setempat. Pada awal alaf pertama, para penduduk Semenanjung Melayu menganut agama Hindu dan Buddha dari India serta meminjam sistem tulisan Sanskrit. Dari abad ke-7 hingga ke-13, kebanyakan kawasan Semenanjung Melayu ditakluki oleh empayar Srivijaya yang beribu kota di Palembang di pulau Sumatera. Setelah kejatuhan Srivijaya, giliran empayar Majapahit yang berpangkalan di Jawa pula yang mempengaruhi kawasan-kawasan Indonesia, Semenanjung Malaysia, dan pesisiran Pulau Borneo. Pada awal abad ke-15, Parameswara, seorang putera dari bekas kerajaan Srivijaya, mengasaskan sebuah negeri baru yang dikenali sebagai Melaka. Kemudian, Parameswara memeluk agama Islam, maka orang Melayu beramai-ramai pun memeluk agama Islam pada abad ke-15. Pada zaman ini, Melaka menjadi sebuah pusat perdagangan tersohor yang menarik ramai pedagang dan saudagar dari seluruh rantau. 

Zaman penjajahan Eropah bermula pada tahun 1511, apabila Melaka ditakluki oleh Portugal untuk dijadikan tanah jajahan, disusuli pula oleh pengambilalihan Belanda di Melaka pada tahun 1641. Empayar British menjejak kaki di Semenanjung Melayu pada tahun 1786, dengan memajakkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur British dari negeri Kedah, kemudian menduduki Singapura tidak lama kemudian. Pada tahun 1824, British menguasai Melaka ekoran Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang memecahkan kepulauan Melayu kepada kawasan taklukan British dan Belanda, yang mana Malaya terletak dalam kawasan British. Pada tahun 1826, British menguasai Pulau Pinang, Melaka, Singapura dan Labuan untuk dijadikan wilayah jajahan mahktoa Negeri-Negeri Selat. Pada awal abad ke-20, negeri-negeri Pahang, Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan yang membentuk Negeri Melayu Bersekutu, ditugaskan Residen British sebagai penasihat raja-raja Melayu yang terpaksa mengikut kata-kata mereka hasil perjanjian terdahulu. Lima negeri semenanjung yang lain, iaitu Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, biarpun tidak diperintah secara langsung dari London, namun turut menerima penasihat British pada awal abad ke-20. Sabah ditadbir sebagai jajahan makhota Borneo Utara Inggeris, manakala Sarawak diserahkan oleh Kesultanan Brunei kepada James Brooke yang memerintah sebagai Raja Putih dalam sebuah Kesultanan yang merdeka sehingga diserahkan kepada pemerintahan langsung British pada tahun 1946.

Pada Perang Dunia Kedua, tentera Jepun menyerang lalu menduduki Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura selama tiga tahun lebih. Sewaktu ini, hubungan antara etnik makin tegang dan semangat nasionalisme makin mekar. Setelah wilayah Malaysia ditakluki semula oleh Pihak Berikat, masyarakat tempatan semakin menyambut baik perjuangan demi kemerdekaan. Rancangan pascaperang British untuk menyatukan pentadbiran Tanah Melayu menjadi jajahan tunggal iaitu Malayan Union ditentang hebat oleh orang Melayu yang membantah perbuatan melemahkan kuasa raja-raja Melayu serta pemberian kewarganegaraan kepada kaum Cina. Pada tahun 1946, Malayan Union terbentuk daripada semua taklukan British di Tanah Melayu kecuali Singapura, kemudian dibubarkan pada tahun 1948 untuk memberi laluan kepada Persekutuan Tanah Melayu yang memulihkan autonomi raja-raja Melayu di bawah naungan British. Pada masa yang sama, pejuang pemberontak pimpinan Parti Komunis Malaya melancarkan kegiatan gerila untuk mengusir British dari Tanah Melayu, sehingga mencetuskan darurat dari tahun 1948 hingga 1960, yang melibatkan kempen anti-pemberontak berpanjangan oleh tentera Komanwel di Tanah Melayu. 

Walaupun masih di tengah zaman Darurat, Tanah Melayu tetap diisytiharkan sebagai negara merdeka pada 31 Ogos 1957, diikuti penyerahan kalah oleh gerila Komunis tiga tahun berikutnya. Pada tahun 1963, Tanah Melayu bersama jajahan British di Sabah, Sarawak dan Singapura, bergabung untuk membentuk Malaysia. Tarikh yang dicadangkan untuk pembentukan Malaysia adalah 31 Ogos 1963, sempena sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dan penerimaan pemerintahan sendiri kepada Sarawak oleh Sabah oleh British. Akan tetapi, upacara pengisytiharan persekutuan Malaysia ditunda hingga 16 September 1963 kesan tentangan kerajaan Indonesia pimpinan Sukarno serta cubaan Parti Rakyat Bersatu Sarawak untuk menangguhkan pembentukan Malaysia. Zaman kemerdekaan awal menyaksikan kemuncak "Konfrontasi" dengan Indonesia kerana pembentukan Malaysia, pengunduran diri Singapura pada tahun 1965, dan rusuhan antara kaum pada tahun 1969. Selepas peristiwa 13 Mei itu, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak, dengan tujuan meningkatkan penguasaan ekonomi negara oleh bumiputera ("orang peribumi", termasuk orang Melayu dan sewajarnya orang asli dan pribumi lain) berbanding kaum-kaum lain. Oleh itu, Malaysia terpaksa menanggung imbangan politik etnik yang rumit, dengan sistem kerajaan yang cuba menggabungkan pembangunan ekonomi keseluruhan dengan dasar politik dan ekonomi yang memupuk penyertaan sama-rata semua kaum. Ketika negara dipimpin oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi sepanjang 1980-an dan 1990-an, meskipun disampuk oleh kemelesetan pasaran harta pada tahun 1985-86. Ketika ini, Malaysia beralih dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan perindustrian yang termasuk komputer dan barangan elektronik pengguna. Pada masa yang sama, wajah bumi Malaysia berubah kerana bangkitnya berbilang-bilang projek mega, antaranya Menara Berkembar Petronas (yang mencapai taraf bangunan komersil tertinggi di dunia sebaik sahaja siap dibina), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Projek Lebuhraya Utara Selatan, Litar Antarabangsa Sepang, Koridor Raya Multimedia, empangan hidroelektrik Bakun dan pusat pentadbiran persekutuan baru, iaitu Putrajaya. Pada akhir 1990-an, Malaysia digegarkan oleh krisis kewangan Asia dan kemelut politik ekoran pelucutan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pada November 2007, Malaysia digemparkan lagi oleh dua acara tunjuk perasaan anti-kerajaan yang mendakwa anasir rasuah dan perselisihan dalam sistem ekonomi Malaysia yang memihak kepada parti pemerintah, Barisan Nasional yang menguasai Malaysia sejak merdeka pada tahun 1957.

  Politik
Malaysia ialah sebuah negara beraja elektif berperlembagaan persekutuan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong, ketua negara persekutuan. Yang di-Pertuan Agong dipilih dari kalangan sembilan Raja Melayu untuk sepenggal lima tahun; tanpa penyertaan empat negeri lain (Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah) yang hanya dipimpin oleh Yang di-Pertua Negeri. Sistem kerajaan di Malaysia banyak berasaskan sistem parlimen Westminster yang diwarisi daripada zaman penjajahan British. Kuasa perundangan diagihkan kepada badan perundangan persekutuan dan negeri. Parlimen Malaysia yang dwidewan terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Rakyat dianggotai oleh 222 Wakil Rakyat, iaitu ahli-ahli yang dipilih oleh kawasan pengundian masing-masing untuk penggal maksimum lima tahun. Kesemua 70 Senator (ahli Dewan Negara) dilantik untuk penggal tiga tahun; 26 daripadanya dipilih oleh 13 Dewan Undangan Negeri, manakala 44 yang selebihnya dilantik oleh raja atas syor Perdana Menteri. Parlimen Malaysia mengikuti sistem pelbagai parti dan ahli-ahlinya dipilih menerusi sistem pemenang undi terbanyak. Semenjak mencapai kemerdekaannya, Malaysia ditadbir oleh parti campuran Barisan Nasional (dahulunya Parti Perikatan). Selain Parlimen persekutuan, setiap negeri mempunyai sebuah Dewan Undangan Negeri ekadewan (DUN) yang terdiri daripada ahli-ahlinya yang dipilih dalam pilihan raya peringkat negeri. Kerajaan negeri diketuai oleh Menteri Besar untuk negeri-negeri Melayu atau Ketua Menteri di negeri-negeri tanpa raja[16], yang merupakan ahli dewan undangan negeri dari parti majoriti di Dewan Undangan Negeri. Di setiap negeri beraja, Menteri Besar diwajibkan berketurunan Melayu dan dilantik oleh sultan atau raja atas nasihat Perdana Menteri. Pilihan raya parlimen diadakan lebih kurang sekali dalam empat atau lima tahun. Pilihan raya umum terkini diadakan pada Mac 2008. Pengundi berdaftar yang berusia 21 tahun ke atas boleh mengundi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang disukai. Kuasa eksekutif terletak di tangan jemaah menteri pimpinan perdana menteri. Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa perdana menteri mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat majoriti di parlimen dalam pandangan Yang di-Pertuan Agong. Cabang kehakiman Malaysia bebas daripada pengaruh eksekutif dan perundangan. Badan kehakiman tertinggi ialah Mahkamah Persekutuan yang dibawahi oleh dua mahkamah tinggi, iaitu satu untuk Semenanjung dan satu lagi untuk Malaysia Timur. Sistem undang-undang Malaysia berasaskan undang-undang am Inggeris.


Sistem mahkamah syariah berasingan dari mahkamah awam untuk menerima kes-kes yang melibatkan umat Islam di Malaysia. Sistem mahkamah syariah sama paras dengan sistem mahkamah biasa dan menjalani pembaharuan yang menyaksikan pelantikan hakim-hakim dalam kalangan wanita. Di Malaysia wujudnya perbahasan sama ada negara ini wajar mengamalkan kerajaan berdasarkan sekular atau Islam, memandangkan ada negeri yang meluluskan undang-undang Islam tetapi tidak berkuatkuasa kerana ditentang oleh kerajaan persekutuan.

No comments:

Post a Comment