Welcome!

Saturday, 25 January 2014

Tempat Menarik Di Dunia

Dunia ini penuh dengan tempat-tempat yang unik dan menakjubkan untuk dilawati dan dengan kemajuan teknologi, tempat-tempat yang terpencil tapi mengagumkan seumpama ini dapat dijumpai. Melihat keindahan alam yang mempersonakan ini akan membuatkan hati mengagumi kebesaran Allah yang menciptakan seluruh alam, walaupun hanya sekadar dapat melihat dari skrin komputer, itu pun jadilah. Senarai ini memperlihatkan 5 tempat paling unik dan menakjubkan dari seluruh dunia, yang tidak mengikut turutan. 

1. Pamukkale, Turki
Pamukkale dalam bahasa Turki bermaksud istana kapas, dan juga dipanggil istana putih kerana persekitarannya yang keputihan disebabkan oleh kepekatan calcite yang tinggi di dalam air. Endapan sedimen dari batu travertine menghasilkan teres putih, air terjun yang membatu dan hutan mineral yang membentuk landskap di sekitarnya. 17 mata air panas di sini pula dipanaskan oleh gunung berapi bawah tanah. Kawasan ini juga menjadi spa untuk berubat sejak ribuan tahun dan menarik pengunjung dari serata dunia, selain kerajaan Rom pernah membina kota kuno Hieropolis di sini. 


2. Sanqingshan, China
Sanqingshan yang dianggap sebagai tempat suci ini digunakan oleh penganut agama Tao untuk meditasi, dan dipercayai mampu memberikan keabadian hidup. Tempat ini diselubungi kabus selama 200 hari setahun dan kabus ini menyumbang kepada persekitaran yang sangat menyamankan, bersama-sama dengan beribu-ribu anak sungai yang mengalir ke tasik-tasik, formasi batu granit yang menyerupai bentuk manusia dan haiwan dan pokok-pokok pain yang berbentuk unik. Tasik-tasik dan tumbuh-tumbuhan mewujudkan persekitaran unik yang menarik banyak spesis burung dan haiwan eksotik yang jarang dijumpai. 

3. Vale Da Lua, Brazil
Tempat ini merupakan lembangan batu yang terbentuk hasil hakisan dari Sungai San Miguel. Vale Da Lua bermaksud lembah bulan dan diberikan nama tersebut kerana hakisan dari sungai menyebabkan batu tersebut menjadi licin dan berwarna kelabu seperti di bulan. Lembah ini juga mempunyai batu tertua di dunia, degan anggaran usia menjangkau 1.8 billion tahun. Sungai tersebut pula telah membentuk gua, air terjun dan pembentukan batu yang pelik. Jika dilihat dari angkasa lepas, kawasan ini merupakan yang paling bercahaya di bumi. 

4. Socotra, Yaman
Socotra digambarkan sebagai salah satu tempat yang kelihatan seperti asing dari planet lain. Ianya sangat terasing dengan iklim yang ekstrem dan kering, dan hasilnya satu pertiga daripada tumbuhan di sini tidak terdapat di tempat-tempat lain, termasuk pokok Darah Naga yang terkenal, tumbuhan luar biasa berbentuk seperti payung yang mengeluarkan getah berwarna merah. Socotra dianggap sebagai tempat mempunyai paling banyak kepelbagaian tumbuhan di tanah Arab dan disenaraikan sebagai tapak warisan dunia. 


5. Laut Mati, Jordan
Laut Mati yang juga dikenali sebagai Laut Garam ini terletak di sempadan Jordan dan Israel. Ianya terletak di ketinggian paling rendah di atas permukaan bumi. Disebabkan kemasinan dan kepadatan yang sangat tinggi, ianya digelar Laut Mati dan airnya lebih masin berbanding air laut. Ianya juga terkenal dengan sifatnya yang boleh mengapungkan manusia di atas permukaan air. Hidupan air seperti ikan juga tidak mampu untuk hidup di sini.

No comments:

Post a Comment